Friday, May 2, 2014

AGAMA DAN NASIHAT


Hadith riwayat Imam Muslim di dalam Kitab al-Iman. Bab Dalam Menerangkan Bahawa Agama Itu Adalah Nasihat. Hadith no: 55.


Keterangan Hadith
Hadith ini adalah lafaz yang singkat dan padat tetapi mengandungi erti dan maksud yang luas dan berfaedah yang tidak terkira banyaknya sehingga kita mampu beroleh kesemua sunah dan hukum hakam syariah sama ada yang usul mahupun cabang-cabangnya.


Pengajaran Hadith
  • Nasihat Untuk Allah SWT: Maksudnya adalah beriman dengan Allah SWT dan menafikan sekutu baginya iaitu tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa pun. Serta meninggalkan penyelewengan dalam sifat-sifatNya, justeru itu menyifatkan Allah SWT dengan segala sifat-sifat yang sempurna dan mulia dan menyucikannya daripada segala kekurangan. Ikhlas dalam melakukan ibadat kepadanya serta menunaikan ketaatan dan menjauhkan melakukan maksiat terhadapnya.

  • Nasihat untuk Kitab Allah: Nasihat ini terhasil dengan beriman kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada para RasulNya dari sisinya dan juga beriman dengan Al-Quran yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan kitab terakhir diturunkan dan menjadi saksi untuk kitab-kitab sebelumnya.

  • Nasihat untuk RasulNya: Iaitu membenarkan risalahnya dan beriman dengan kesemua yang datang bersamanya iaitu Al-Quran dan Sunahnya, sebagaimana ia terwujud dengan kecintaan dan ketaatan kepadanya. Maka pada kecintaan Rasul itu adalah syarat bagi memperoleh kecintaan Allah SWT.

  • Nasihat untuk Para pemimpin Islam: Di sini menunjukkan bahawa pemimpin kepada kaum Muslimin wajiblah dari kalangan orang-orang Islam agar boleh diwajibkan mentaatinya. Adapun nasihat kita untuk mereka adalah kesukaan kita terhadap pembaikan mereka, petunjuk dan keadilan mereka bukannya mengasihi mereka semata-mata kerana keperibadian mereka atau diri mereka. Nasihat kita untuk pemerintah yang zalim adalah dengan membantu mereka menegakkan yang hak dan mentaati mereka pada yang sedemikian itu dan memperingatkan mereka dengannya.

  • Nasihat untuk Orang Awam: Nasihat ini adalah membimbing mereka ke suatu arah demi kemaslahatan mereka di dalam urusan akhirat dan dunia mereka. Adalah menjadi perkara yang menyedihkan apabila kaum Muslimin sekian lama meringan-ringankan tugas menasihati antara satu sama lain khususnya yang berkaitan dengan persediaan untuk kehidupan mereka di alam akhirat.





Sumber: Al-Wafi fi Syarh al-Arbain Nawawiyyah oleh Dr Mustafa al-Bugha & Dr Muhyiddin Mistu. 2007.  Terbitan Dar al-Kalam al-Tib, Dimashq.

No comments:

Post a Comment