Saturday, May 3, 2014

FITNAH ORANG YANG DUDUK LEBIH BAIK DARIPADA ORANG YANG BERDIRI



Hadith Riwayat oleh Imam al-Bukhari dalam Kitab al-Fitan. Bab 9. Halaman 94,97,99,100


Keterangan Hadith dan Pendapat Para Ulama'
  1. Ibn al-Tin menyebutkan daripada ad-Dawudi bahawa maksud hadis tersebut ialah ditujukan kepada semua individu yang terlibat dalam perkara fitnah itu. Di mana sebahagian daripada mereka lebih berat (keterlibatannya) berbanding dari yang lain. Individu yang paling tinggi tahapnya adalah orang yang berlari di mana dia menjadi penyebab fitnah semakin berleluasa. Kemudian orang yang berjalan yang mana dia melakukan sebab-sebab fitnah dan diikuti kawan-kawan mereka yang memperhatikannya iaitu orang yang duduk. Seterusnya orang yang menjauhi fitnah dan tidak terlibat dengan fitnah iaitu orang yang terbaring dan terjaga. Akhir sekali adalah orang yang tidak ada sangkut paut dengan fitnah sedikitpun namun dia redha, iaitu orang yang tidur. Maksud kelebihan pada kebaikan ini adalah orang yang lebih sedikit keburukannya berbanding orang yang di atasnya sesuai perinciaan tersebut.
  2. Al-Thabari telah mengatakan bahawa para ulama mempunyai perbezaan pendapat dalam hal ini. Terdapat sebahagian yang memahami secara umum iaitu mereka yang tidak terlibat dalam peperangan antara kaum Muslimin dengan secara mutlak. Mereka adalah seperti Sa’d, Ibn Umar, Muhammad bin Maslamah, Abu Bakrah dan lain-lain dimana mereka berpegang kepada isi kandungan hadith tersebut.Selain itu, hadith ini juga membahaskan apabila terdapat sekelompok kumpulan yang membangkang terhadap imam (pemimpin) dengan tidak menunaikan kewajipan, lalu berlakunya peperangan maka wajib pemimpin itu memerangi kelompok tersebut. Terdapat pendapat lain yang mengatakan sekiranya berlaku peperangan antara kaum muslimin di mana tidak ada imam bagi jamaah, maka peperangan ketika itu dilarang.
  3. Al-Thabari telah mengatakan bahawa pendapat yang benar bagi maksud fitnah ialah dugaan, sementara mengingkari kemungkaran adalah wajib bagi yang mampu melakukannya. Barangsiapa menolong pihak yang benar bermaksud dia telah melakukan tindakan yang betul, dan barangsiapa yang menolong pihak yang salah bermaksud dia telah melakukan tindakan yang salah. Sekiranya kita tidak mengetahui pihak yang benar atau salah, maka sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Nabi SAW yakni tidak melibatkan diri dalam masalah tersebut.Pendapat lain mengatakan bahawa hadith-hadith yang melarang perbuatan tersebut merupakan larangan khusus untuk umat akhir zaman kerana peperangan ketika itu hanya untuk mendapatkan kekuasaan.
Pengajaran Hadith
  • Sentiasa memupuk sikap berwaspada dan berhati-hati dalam diri sendiri agar terhindar dari sebarang fitnah.
  • Sentiasa bijak dalam membuat keputusan iaitu menyebelahi pihak yang benar kepada perkara yang benar dan tepat dan tidak akan menyebelahi pihak yang tidak benar kepada perkara yang tidak benar.
  • Tidak mudah terpengaruh dan berburuk sangka kepada perkara-perkara yang membawa kepada unsur-unsur kekeliruan.


Sumber: Ibnu Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari. Penterjemah: Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta: Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 9. Halaman 94, 97, 99 & 100.

KELEBIHAN BERIBADAT DI SAAT-SAAT HURA-HARA


Syarah Hadith
  1. Sememangnya tabiat manusia itu apabila ditimpa sesuatu kesulitan, mereka akan mengadu untuk melakukan sesuatu ibadat. Mereka akan berkata, jika kesulitan ini tidak terjadi pasti aku akan lebih mudah untuk melakukan sesuatu ibadat. Namun, apabila keadaan semakin baik, mereka akan terus lupa untuk melakukannya.Orang yang mampu beribadat dan menunaikan kewajipan agamanya di saat-saat yang penuh dengan huru hara dan gangguan dari segenap penjuru, dan mampu mengingati Allah SWT di saat-saat orang lain lupa dan di sibukkan dengan perkara-perkara yang melalaikan. Mereka akan diberikan pahala seperti pahala hijrah yang telah dilakukan oleh kaum Muhajirin di zaman Rasulullah saw.
  2. Mudah-mudahan kita termasuk di kalangan mereka yang mampu beribadat walaupun di dalam keadaan dan suasana yang sangat menyibukkan, dan mudah-mudahan kita mendapatkan pahala besar yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW tadi.


Sumber: Imam Yahya Bin Syarif An-Nawawi. 2000. Shahih Muslim Bi Syarah Nawawi. Pentahqiq: Muhammad Fuaad Abdul Baqi. Juzuk 18. Beirut, Lubnan. Halaman 70. Muhammad Idris Al-Marbawi. 2008. Bahru Al-Madzi Syarah Mukhtashar Shahih at-Tirmidzi. Pengalih Tulisan: Noraine Abu. Juzuk 15. Kuala Lumpur. Halaman 156-157.

KEMUNCULAN FITNAH


Keterangan Hadith

Pada akhir zaman ini, banyak terjadinya fitnah yang mampu merosakkan institusi masyarakat dan negara itu sendiri. Di antara faktor yang menyebabkan berlakunya fitnah adalah seperti:
  1. Terlalu taksub atau mengikut dorongan perasaan iri hati dan dengki terhadap orang lain, ditambah lagi dengan kurangnya ilmu dan iman di dalam diri, menyebabkan perasaan ini sukar untuk dibendung.
  2. Ingin mendapatkan kepercayaan dan kuasa orang terhadap diri dan dakwaannya.
Dalam hadith di atas, ada menyatakan bahawa di akhir zaman ini akan munculnya fitnah dan banyak terjadinya pembunuhan. Ini kerana perbuatan menabur fitnah sebenarnya lebih kejam dari pembunuhan , kerana kesan kerosakannya adalah lebih teruk. Jika dengan membunuh, mangsanya mungkin seorang, tetapi dengan fitnah mungkin mengakibatkan ramai orang dan kesannya akan berlanjutan sehingga bertahun-tahun.

Disebabkan demikian, umat Islam sewajarnya tidak menerima apa-apa berita itu secara membuta tuli sahaja. Malah ia perlu diselidiki, adakah ia khabar yang benar atau palsu lebih-lebih lagi berita yang menyentuh kehormatan seseorang.


Pengajaran Hadith
  • Dosa membuat fitnah adalah dosa sesama manusia. Dosa ini tidak akan di ampunkan oleh Allah memlainkan orang yang difitnah itu yang memberikan keampunan.
  • Perbuatan fitnah adalah perbuatan mengadu-domba yang mudah mengakibatkan permusuhan diantara dua pihak yang dikaitkan dengan sesuatu fitnah.
  • Kita perlu sentiasa memperbaiki amalan ke arah kebaikan.

Sumber: Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari Bi Sharh Shahih Al-Bukhari. Juzu' 13. Dar Makrifah: Beirut. Kitab 92. Bab 5. Halaman 13-19.

FITNAH MUNCUL DARI ARAH TIMUR



Keterangan Hadith

Hadith ini menjelaskan bahawa fitnah muncul dari arah timur, ini dapat dibuktikan dengan pendapat oleh al-Muhallab, beliau mengatakan bahawa: “ Nabi Muhammad SAW tidak mendoakan untuk penduduk timur tujuannya adalah untuk melemahkan mereka daripada keburukan yang akan terjadi dari arah mereka ini disebabkan syaitan menguasainya dengan menyebarkan fitnah”.

Di samping itu, Ibnu Hajar rahimahullah berkata: “Pada saat itu penduduk timur (Masyriq) adalah orang-orang kafir maka disebabkan itu Nabi Muhammad SAW memberitahu bahawa fitnah muncul dari arah tersebut dan terjadi seperti yang Baginda SAW khabarkan. Fitnah pertama muncul dari arah timur yang menjadi sebab perpecahan antara kaum Muslimin. Tentu sahaja hal ini termasuk perkara yang disukai syaitan serta menggembirakannya. Begitu juga, bid’ah- bid’ah muncul dari arah tersebut”.


Pengajaran Hadith
  • Munculnya kaum Tatar pada abad ke-17 Hijriyyah dari arah timur. Dengan sebab tangan-tangan merekalah terjadi banyak kehancuran, pembunuhan sebagaimana yang telah dimuatkan dalam buku- buku sejarah.
  • Sehingga saat ini senantiasa timur menjadi sumber fitnah, bid’ah, khurafat, dan atheisme. Fahaman komunis yang tidak mengakui adanya tuhan berpusat di negara Rusia dan Cina, keduanya ada di arah timur, dan datangnya Dajjal serta Yakjuj dan Makjuj dari arah timur.
  • Hanya kepada Allah kita memohon perlindungan dari segala fitnah yang nampak secara zahir dan tersembunyi.
  • Sebahagian fitnah merupakan tanda-tanda kiamat yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW seperti peristiwa Siffin dan juga munculnya kaum Khawarij.

Sumber: Ibnu Hajar al-Asqalani. 2009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari. Penterjemah: Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta: Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 16. Halaman 149-157.

MENGHINDARI DIRI DARI FITNAH MERUPAKAN SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN

Hadith Riwayat oleh Imam al-Bukhari dalam Kitab al-Fitan. Bab 14. Halaman 133-142


Keterangan Hadith
  • Hadith ini merupakan dalil bagi orang yang mengasingkan diri kerana risau akan keselamatan agamanya.
  • Para ulama salaf berbeza pendapat mengenai hukum asal uzlah (mengasingkan diri). Menurut jumhur, berinteraksi sesama manusia adalah lebih utama kerana mendatangkan faedah-feadah agama seperti melaksanakan syiar Islam, memperbanyakkan jumlah kaum muslimin dan memberi pelbagai kebaikan kepada kaum muslimin seperti memberi bantuan dan lain-lain. Sebahagian lain berpendapat bahawa mengasingkan diri adalah lebih utama kerana lebih menjamin keselamatan dengan syarat mengetahui apa yang mesti dilakukan. Imam al-Nawawi berpendapat bahawa seseorang itu perlu berinteraksi dengan manusia lain yakni tidak mengasingkan diri daripada ketika fitnah berlaku sekiranya dia yakin tidak akan terjerumus ke dalam kancah fitnah tersebut.
  • Namun, jika dia tidak mempunyai keyakinan menghadapinya, maka mengasingkan diri adalah lebih utama.


Pengajaran Hadith
  • Menjauhkan diri yakni mengasingkan diri daripada fitnah digalakkan jika ianya membawa kemaslahatan.
  • Berjemaah hendaklah atas kebenaran iaitu umat Islam bersatu atas kebenaran yang berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.
  • Tidak boleh bersatu di atas sesuatu yang batil atau terkeluar daripada batas-batas Islam.



Sumber: Ibnu Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari. Penterjemah: Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta: Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 14. Halaman 133-142.

ORANG YANG TIDAK SUKA UNTUK MENINGKATKAN BILANGAN FITNAH DAN KEZALIMAN

Hadith Riwayat Imam al-Bukhari. Kitab al-Fitan. Bab 12. Halaman (123-124).

Keterangan Hadith

Ibnu Hajar telah mengatakan bahawa bagi orang yang mengambil dari riwayat Ibnu Lahi’ah dengan sanad yang mausul pada perbahasan tafsir surah an-Nisa’ disertai penjelasan hadith. Seterusnya, pendapat lain ada mengatakan pada ayat فَيَأْتِي السَّهْمُ فَيُرْمَى “anak panah datang maka di panahkan kepadanya” membawa maksud yang terbalik dan maksud yang sebenar adalah “ maka anak panah itu dilemparkan dan ia datang”. Kemudian Ibnu Hajar mengatakan mungkin juga huruf “fa” yang kedua adalah sebagai tambahan dan redaksi seperti ini telah disebutkan dalam riwayat Abu Dzar dalam surah an-Nisa’, فَيَأْتِي السَّهْمُ فَيُرْمَى “Maka anak panah datang dan di panahkan kepadanya”.


Pengajaran Hadith
  • Sentiasa berpegang teguh dengan akidah supaya dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
  • Memupuk sikap sentiasa berani dan berjihad ke jalan Allah SWT demi menegakkan agama Islam iaitu agama yang benar.
  • Tidak bersikap berpura-pura dan sentiasa jujur serta amanah dalam menegakkan agama Allah SWT.

Sumber: Ibnu Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari. Penterjemah: Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta: Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 12. Halaman (123-124).

PENGKHABARAN RASUL TENTANG FITNAH-FITNAH





Keterangan Hadith

  • Maksud Imam al-Bukhari tentang bab mengajarkan ilmu di malam hari adalah menjelaskan bahawa larangan bercengkerama setelah isyak’ adalah khusus dalam masalah yang tidak ada unsur kebaikannya. 
  • سبحان الله ماذا: Kata istifham (pertanyaan) dalam kalimah ini menggambarkan rasa takjub dan pengagungan. 
  • أنزل: (Diturunkan). Maksudnya, bahawa para malaikat telah turun untuk memberitahukan tentang perkara-perkara yang telah ditetapkan, atau Nabi SAW bermimpi telah diturunkan wahyu kepada baginda mengenai bencana dan fitnah yang akan terjadi setelah meninggalnya.
  • صواحبات الحجر: Maksudnya rumah-rumah para isteri Nabi SAW. Dikhususkannya mereka untuk dibangunkan, adalah kerana pada saat itu mereka hadir atau juga hal ini termasuk “Mulailah dari diri anda sendiri kemudian baru keluarga anda”.

Pengajaran Hadith
  • Anjuran untuk bersegera melakukan solat tatkala merasa takut datangnya keburukan, demikian pula kebiasaan Nabi SAW kalau sedang merasa tertekan akibat suatu perkara maka beliau segera menunaikan solat.
  • Boleh mengucapkan tasbih (subhanallah) ketika menyaksikan sesuatu yang mengerikan (maksudnya turunnya fitnah).

Sumber: Ibnu Hajar al-Asqalani. 2009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari. Penterjemah: Gazirah Abdi Ummah. Cet. 9. Jil. 1. Jakarta: Pustaka Azzam. Hlm 402-403.