Saturday, May 3, 2014

FITNAH ORANG YANG DUDUK LEBIH BAIK DARIPADA ORANG YANG BERDIRI



Hadith Riwayat oleh Imam al-Bukhari dalam Kitab al-Fitan. Bab 9. Halaman 94,97,99,100


Keterangan Hadith dan Pendapat Para Ulama'
  1. Ibn al-Tin menyebutkan daripada ad-Dawudi bahawa maksud hadis tersebut ialah ditujukan kepada semua individu yang terlibat dalam perkara fitnah itu. Di mana sebahagian daripada mereka lebih berat (keterlibatannya) berbanding dari yang lain. Individu yang paling tinggi tahapnya adalah orang yang berlari di mana dia menjadi penyebab fitnah semakin berleluasa. Kemudian orang yang berjalan yang mana dia melakukan sebab-sebab fitnah dan diikuti kawan-kawan mereka yang memperhatikannya iaitu orang yang duduk. Seterusnya orang yang menjauhi fitnah dan tidak terlibat dengan fitnah iaitu orang yang terbaring dan terjaga. Akhir sekali adalah orang yang tidak ada sangkut paut dengan fitnah sedikitpun namun dia redha, iaitu orang yang tidur. Maksud kelebihan pada kebaikan ini adalah orang yang lebih sedikit keburukannya berbanding orang yang di atasnya sesuai perinciaan tersebut.
  2. Al-Thabari telah mengatakan bahawa para ulama mempunyai perbezaan pendapat dalam hal ini. Terdapat sebahagian yang memahami secara umum iaitu mereka yang tidak terlibat dalam peperangan antara kaum Muslimin dengan secara mutlak. Mereka adalah seperti Sa’d, Ibn Umar, Muhammad bin Maslamah, Abu Bakrah dan lain-lain dimana mereka berpegang kepada isi kandungan hadith tersebut.Selain itu, hadith ini juga membahaskan apabila terdapat sekelompok kumpulan yang membangkang terhadap imam (pemimpin) dengan tidak menunaikan kewajipan, lalu berlakunya peperangan maka wajib pemimpin itu memerangi kelompok tersebut. Terdapat pendapat lain yang mengatakan sekiranya berlaku peperangan antara kaum muslimin di mana tidak ada imam bagi jamaah, maka peperangan ketika itu dilarang.
  3. Al-Thabari telah mengatakan bahawa pendapat yang benar bagi maksud fitnah ialah dugaan, sementara mengingkari kemungkaran adalah wajib bagi yang mampu melakukannya. Barangsiapa menolong pihak yang benar bermaksud dia telah melakukan tindakan yang betul, dan barangsiapa yang menolong pihak yang salah bermaksud dia telah melakukan tindakan yang salah. Sekiranya kita tidak mengetahui pihak yang benar atau salah, maka sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Nabi SAW yakni tidak melibatkan diri dalam masalah tersebut.Pendapat lain mengatakan bahawa hadith-hadith yang melarang perbuatan tersebut merupakan larangan khusus untuk umat akhir zaman kerana peperangan ketika itu hanya untuk mendapatkan kekuasaan.
Pengajaran Hadith
  • Sentiasa memupuk sikap berwaspada dan berhati-hati dalam diri sendiri agar terhindar dari sebarang fitnah.
  • Sentiasa bijak dalam membuat keputusan iaitu menyebelahi pihak yang benar kepada perkara yang benar dan tepat dan tidak akan menyebelahi pihak yang tidak benar kepada perkara yang tidak benar.
  • Tidak mudah terpengaruh dan berburuk sangka kepada perkara-perkara yang membawa kepada unsur-unsur kekeliruan.


Sumber: Ibnu Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari. Penterjemah: Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta: Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 9. Halaman 94, 97, 99 & 100.

No comments:

Post a Comment